Bahagian Pertama
1. Kesabaran dan ketabahan
Dalam proses permulaan menulis,
seseorang penulis baru harus sabar dan tabah bagaimana mahu mencari idea
untuk menulis. Kadangkala penulis baru menghadapi masalah bagaimana
mahu bercerita, mencari bahan cerita atau bagaimana membina plot-plot
dalam cerita itu nanti. Di sini kesabaran paling utama kerana proses
membina cerita bukanlah proses yang mudah.
Proses pertengahan
adalah proses yang cukup mencabar kesabaran penulis, ketika cerita sudah
dibina. Sedang sedap menulis atau menaip tiba-tiba si penulis
kehilangan idea. Apa nak ditulis? Idea terbang melayang, cari tak
jumpa-jumpa. Kalau idea dah terputus macam mana nak menulis, kan?
Sabarlah… ada cara untuk menanganinya.
2. Selepas menghabiskan karya, mencari tajuk buku pun satu hal
Tetapi
perkara ini boleh dibantu oleh penerbit. Kadangkala dalam proses ini
membuatkan kita boleh jadi tidak sabar kerana kita tidak suka dengan
tajuk yang diberikan oleh penerbit. Sabarlah….
Dan paling
penting, seorang penulis baru perlu sabar dan tabah dalam menghasilkan
karyanya, tabah ketika mengetahui karya mereka dibakul sampahkan dan
sabar apabila mendengar komen daripada editor penerbitan yang mengatakan
buku awak ni rubbish!, buku awak ni tak ada nilai!, apa buat cerita
macam ni?, atau bermacam-macam lagi.
bahagian Kedua
Daya Khayal(Imaginasi)dan sifat rasional yang seimbang.
Tip
kedua saya, seseorang penulis mesti mempunyai daya khayal (imiginasi)
dan sifat rasional yang sama seimbangnya. Seorang penulis memang
perlukan daya khayalan bagi merangka dan mencorak segala karektor dan
plot dalam sesebuah cerita. Namun di masa yang sama, sifat rasional
diperlukan supaya sesuatu cerita itu tidak dicorakkan dengan cara yang
keterlaluan. Contohnya:
1.Apabila seorang
penulis, melihat sesuatu kejadian atau kemalangan, dengan daya khayal
anda yang tinggi sudah tentu anda dapat mereka atau membentuk satu
cerita ringkas dalam kepala anda sebab dan akibat kemalangan itu
berlaku. Contohnya, sebab kenapa kemalangan itu berlaku mungkin si
pemandu leka berSMS sehingga terlanggar lembu yang sedang bercanda
dengan kekasihnya (lembu pun ada perasaan juga). Akibat kemalangan
tersebut anda boleh reka dengan mengatakan yang jalan raya menjadi sesak
selama lima kilometer (walaupun jalan tersebut jarang dilalui oleh
orang ramai).
Mangsa kehilangan kakinya dan akibat kehilangan
kakinya ia kehilangan kekasih yang sudah tidak mahu pada dirinya lagi.
Dengan daya khayal anda sebagai seorang penulis anda boleh pergi lebih
jauh lagi dengan rekaan cerita yang lebih menarik dan cantik.
2.Dalam
masa yang sama, jangan mereka cerita anda dengan daya khayal yang
keterlaluan. Ianya perlu sederhana dan sifat rasional anda diperlukan di
sini. Seperti contoh diatas, kemalangan mungkin disebabkan oleh lembu.
Tetapi janganlah sampai anda membuat cerita, lembu membantu orang yang
kemalangan keluar dari kereta atau lembu bercekak pinggang mentertawakan
mangsa. Itu sudah tidak rasional dan mungkin novel anda bertukar
menjadi novel lawak pula nanti.
Anda sudah mempunyai sifat tabah dan sabar, daya imiginasi yang tinggi dan sifat rasional yang seimbang?
Anda
boleh memulakan penulisan dengan satu keazaman. Janganlah anda menulis
kerana nama, glamor atau wang ringgit. Tetapi menulislah dengan hati
terbuka kerana ingin berkongsi cerita dan ilmu dengan pembaca.
Hidupkan komputer anda… kemudian bertekadlah dalam hati. Cerita ini akan habis ditulis dan diterbitkan walau apa pun berlaku.
Bahagian Ketiga

Kali ini saya mahu membawa pembaca kepada perkara yang perlu difikirkan sebelum seseorang itu memulakan penulisannya.
1. Pemilihan nama
Nama-nama
karakter amatlah penting dalam sesebuah buku, supaya nama itu mudah
dingati oleh seseorang. Jangan sesekali nama karakter terutamanya hero
dan heroinnya sama dalam dua buah buku yang berlainan tajuk. Saya pernah
melakukan kesilapan begitu sehingga pembaca jadi keliru.
Nama yang sedap didengar dan mengandungi maksud tertentu akan menggembirakan hati pembaca untuk membaca.
2. Karakter hero dan heroin
Manusia
dijadikan ALLAH dengan sifat yang tidak lengkap. Mencari manusia yang
lengkap lapan puluh peratus pun amat payah di dalam dunia ini. Tetapi di
dalam sebuah buku, hero atau heroin selalu digambarkan seorang yang
cukup lengkap sifatnya. Baik budi bahasa dan juga fizikalnya. Tidak
salah menggambarkan pasangan hero dan heroin yang begitu (saya juga
sering melakukannya) tetapi biarlah berpada-pada. Dan perlu diingatkan
kedua-dua karakter ini janganlah digambarkan seseorang yang terlalu
buruk perangainya sehingga mematikan selera pembaca untuk membacanya
3. Nama lokasi
Nama
lokasi juga memainkan peranan yang penting. Kalau boleh gunakanlah nama
lokasi yang wujud di alam nyata tetapi kalau penulis mahu menulis nama
lokasi rekaan sendiri, biarlah ianya mudah diingati dan senang
Bahagian Keempat

Bagaimana mahu memulakan penulisan?
Tip
dibawah adalah perkara biasa yang saya buat sebelum memulakan sesuatu
penulisan tetapi terpulang pada pembaca semua sama ada mahu mengikutinya
atau tidak.
1.Senaraikan nama-nama watak yang perlu ada
di dalam buku yang bakal ditulis. Nama, usia, status, kalau bekerja apa
pekerjaannya, kalau belajar di mana dan sebagainya. Ini untuk memudahkan
bakal penulis menulis dan membuat rujukan nanti. Ingat nama-nama
tersebut supaya anda dapat menyebatikan diri dengan nama-nama itu.
2.Rangkakan
cerita yang mahu ditulis secara kasar. Plot dan sub-plot yang perlu ada
di dalam cerita tersebut. Ini akan memudahkan anda menulis ketika
berada di komputer nanti.
3.Jangkakan berapa bab yang perlu anda
tulis dalam cerita anda dan setiap bab kalau boleh jangan melebihi
sepuluh muka surat dan tidak kurang daripada lima muka surat.
4. Tuliskan lokasi-lokasi yang perlu ada. Nama-nama jalan sebagainya.
Membiasakan diri dengan lokasi yang anda tulis memudahkan anda ‘bermesra’ dengan tulisan anda.
Catatan
boleh dibuat di kertas terlebih dahulu sebelum menulis di komputer.
Tetapi saya amat jarang sekali menulis sebarang catatan dikertas kerana
tidak mahu membuang masa. Bahkan apa yang saya fikirkan biasanya saya
simpan di dalam otak sehingga beberapa hari bahkan beberapa bulan
(syukur kepada ALLAH memberi saya ingatan yang sebegini).
Namun
perlu ditegaskan di sini tidak salah, mana-mana bakal penulis mahu
mencatatkan sesuatu dikertas untuk senang diingati. Terpulang kepada
daya kebolehan dan ingatan seseorang.
Nah! Mulakan cerita anda sekarang ini dan berseronoklah…
Bahagian Kelima
Anda semua sudah mempunyai nama-nama watak, tempat, bangunan dan juga cerita yang perlu ada dalam setiap buku anda?
Anda
sudah mula menulis, tetapi sayang ketika dalam ghairah menulis, idea
anda hilang, cerita anda terbantut di tengah jalan. Apa yang harus anda
lakukan?Ada beberapa tip yang boleh diikuti dan moga-moga ianya dapat
membantu.
Tinggalkan sahaja komputer dan tulisan anda. Bawa diri
bertenang begitu juga dengan fikiran anda. Perhatikan pohon-pohon
menghijau atau bayangkan air laut yang berombak tenang. Perlahan-lahan
apabila fikiran anda sudah mula tenang, anda boleh berimaginasi sesuka
hati anda.
Kalau imaginasi anda mengenai air laut dan pohon hijau
tidak dapat membantu anda, bawa-bawalah kaki anda pergi ke tempat yang
anda suka.
Macam saya... saya suka ke tempat membeli belah.
Seluas mana tempat membeli belah yang terpaksa saya redah pun, jiwa saya
akan tenang walau tidak membeli apa-apa. Saya pernah melawat seluas
lima juta enam ratus ribu kaki persegi tempat membeli-belah di
Zhienjain, China balik ke hotel saya boleh menulis dua puluh muka surat
tanpa penat.
Jika ke pusat membeli belah tidak dapat menjalankan
otak anda, ada satu lagi cara untuk anda mendapat idea. Pergilah ke
kedai buku atau perpustakaan. Beli atau pinjamlah mana-mana buku yang
boleh menarik minat anda. Benamkan diri anda di kerusi atau tilam.
Membaca dan membacalah... Petua ini sering saya lakukandan alhamdulillah
ia sangat membantu.
Kalau itu masih tidak dapat membantu,
telefonlah kawan-kawan anda atau berbual dengan adik beradik,bapa atau
emak saudara, sepupu atau sesiapa sahaja yang boleh membuat otak anda
mula bergerak semula.
Masih lagi tidak boleh berjalan otak anda?
Satu ketika dahulu saya selalu duduk melepak di tangga-tangga pusat
membeli belah Sogo, melihat kerenah orang ramai yang hilir mudik. Di
situ saya mendapat banyak idea untuk menulis...
Kadangkala
berchatting di internet dapat juga membantu. Tetapi jangan pula anda
terlibat dengan perbualan ‘sampah’ yang tidak mendatangkan faedah. Lebih
elok kalau dapat berbual dengan rakan dari luar negara, bertukar
fikiran mengenai budaya mereka dan sebagainya (Jangan berbual kosong,
mengutuk orang sana sini penghabisan idea masih tak ada, dosa yang
dapat.).
Kalau semua yang saya nyatakan tidak dapat membantu,
bahkan idea lain pula yang timbul untuk membuat cerita baru. Bagi saya
tidak salah kalau anda menulis cerita baru. Simpan cerita lama yang
terbantut di tengah jalan itu buat sementara waktu. Bagi diri saya,
penulisan tidak boleh dihentikan. Cerita yang terbantut di tengah jalan
itu Insya-ALLAH satu masa nanti boleh disambung semula.
Bahagian Keenam
Saya
rasa ketika ini sudah ramai yang mula menulis dan mungkin ada yang
sudah menyelesaikan sebuah novel. Tahniah diiucapkan. Saya sudah pun
memberi beberapa tip menulis untuk diikuti dan harap pembaca berpuas
hati dengan apa yang saya berikan. Kali ini saya tidak akan memberi
apa-apa tip bagaimana untuk menulis.
Namun saya mahu memberi sedikit nasihat kepada penulis baru yang baru menghasilkan satu dua karya.
Jangan
sesekali memperendah-rendahkan karya orang lain. Sebagai penulis,
setiap detik dan setiap bacaan adalah proses pembelajaran.
Saya
sendiri walau sudah banyak menghasilkkan karya, masih suka membaca apa
sahaja walaupun karya penulis baru. Kita perlu melihat karya orang lain
sebagai satu keupayaan yang menakjubkan. Jangan sesekali membuat komen
atau menghentam secara peribadi seseorang penulis. Komenlah karya
penulis lain dengan cara yang lebih terbuka. Saya pernah mendengar
seorang penulis yang baru ketika itu menghasilkan 2 buah novel membuat
komen, “Saya menulis kerana saya tahu saya boleh menulis dengan baik,
kerana banyak karya orang lain tidak sedap dibaca dan entah apa-apa”.
Saya rasa komen yang dibuat adalah komen yang benar-benar tidak bertanggungjawab.
Jangan
malu untuk belajar dan memerhati. Belajar buka sahaja di universiti
tetapi di mana-mana sahaja. Televisyen benyak memberi saya ide untuk
menulis walau waktu menonton saya begitu terhad sekali. Saya menonton
apa sahaja yang saya rasa logik di fikiran saya seperti CSI(New York,
Miami, Vegas), drama bersiri ‘Dunia Baru’, Al-Kuliyyah, Midsomer Murder,
Travel and Living, English League, Dr. Fadhila Kamsah, bahkan sesekali
kalau ada masa, Trek Selebriti, Chit Chat Azwan atau Beat TV juga saya
tengok.
Jangan terlalu bangga dengan pujian yang diterima dan
melihat kritikan sebagai sesuatu yang melemahkan. Bagi saya pujian untuk
memberi dan memulihkan semangat dan tidak pernah mengenepikan kritikan.
Walau pahit bagaimana sekali pun sesuatu kritikan itu, saya terima
asalkan tidak menyentuh peribadi dan juga keluarga saya.
Itu serba sedikit nasihat yang dapat saya beri kepada penulis muda.
Sentiasa
merendah diri, merasakan diri sentiasa kekurangan dalam bidang
penulisan dan dapat menerima apa sahaja kritikan, resipi terbaik untuk
berjaya.
Sekian... Selamat menikmati keenakan berkarya.